Wednesday, September 19, 2018
Pentingnya bateri pada kereta
aiki
BATERI adalah antara komponen yang cukup penting pada bahagian enjin
kenderaan. Bateri yang lemah, rosak dan kekurangan air bateri boleh
menyebabkan enjin sukar dihidupkan. Malah, kereta yang tidak
dihidupkan selama tiga atau empat hari juga boleh menyebabkan bateri
lemah.
Oleh itu, pemeriksaan bateri, air dan kabelnya adalah beberapa
perkara yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Lazimnya, kerosakan pada bateri kenderaan kadang kala boleh dibaiki,
tetapi tidak menjamin berapa lama hayat kuasa bateri anda akan
bertahan. Antara sebab kerosakan itu tidak tahan lama ialah kerana
bahagian dinding yang merekah itu akan diresapi asid bateri, sekali
gus sukar melekatkan sebarang pelekat yang disapukan kepadanya.
Selain itu, anda sering menghadapi risiko apabila menggunakan bateri
yang sudah retak terutama boleh menyebabkan enjin kereta anda sukar
dihidupkan kerana kehilangan kuasa bateri.
Bagaimanapun, jika anda ingin menggunakan bateri yang bahagian
dindingnya sudah retak dengan membaiki semula, boleh berbuat
demikian dengan mengambil beberapa langkah tertentu.
Peringkat pertama, pindahkan bateri itu dan diletakkan pada lapikan
plastik. Bersihkan bahagian luar bateri itu dengan bahan pencuci
seperti sabun serbuk untuk menghilangkan tompokan berminyak dan gris.
Kemudian renggangkan sedikit bahagian retak menggunakan pisau
sebelum memasukkan simen khas ke dalamnya untuk menampung kerosakan
ini. Simen khas dikenali sebagai Batrepair ini boleh dibeli di kedai
aksesori kereta.
Tunggu sehingga simen yang disapukan pada permukaan retak itu kering
sebelum mengambil tindakan lain.
Setelah kerja membaiki keretakan itu selesai, masukkan cecair asid
ke dalam lubang disediakan pada paras ditentukan. Bagaimanapun, anda
disyorkan membawa bateri yang dibaiki itu ke bengkel kereta untuk
ujian daya kuasa menggunakan alat pengecas khas.
Sesetengah bateri yang baru dibaiki boleh dipulihkan kuasa
elektriknya ketika enjin kereta dihidupkan. Terlalu lama mengecas
bateri itu juga boleh merosakkan bahagian kepingan plumbum seperti
retak.
Keretakan plumbum akan menyebabkan daya kuasa bateri menjadi
berkurangan dan sekali gus, petanda anda perlu menukar kepada bateri
baru. Bagaimanapun, sesetengah kereta memerlukan alat pengecas khas
yang mungkin mengambil masa kira-kira sejam sebelum ia boleh
digunakan.
Pastikan selaput asid yang melekat pada terminal negatif dan positif
bateri dibersihkan dari semasa ke semasa sebagai langkah kuasa
bateri bertahan lama.
Cara mudah menghapuskan selaput asid itu ialah dengan menuangkan air
panas ke kedua-dua terminal itu.
Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati ketika menuangkan air panas ke
bahagian terminal itu agar tidak terkena pada komponen lain. Kesan
sampingan jika selaput asid memenuhi terminal ialah akan menyebabkan
arus elektrik tidak sampai ke beberapa komponen yang memerlukan.
Selain itu, kesan selaput asid itu juga boleh menyebabkan kabel
bateri berkarat dan mudah terputus.
Advertisements
No comments:
Post a Comment